Monday, February 22, 2010

Sauna untuk kesihatan dan kecantikan

Kaedah bersauna adalah salah satu terapi yang amat popular masa kini. Sayangnya masih ramai yang tidak tahu apakah kelebihan bersauna. Secara ringkas, terdapat lima kelebihan utama dalam menjalani terapi sauna:-

1.Tahukah anda yang sauna dapat membantu melegakan stres. Terapi ini dapat mengurangkan stres dengan dua cara. Pertama, bersauna secara semulajadi dapat melegakan dan menenangkan minda. Kawasan yang tenang dan hangat secara tidak langsung dapat mengurangkan segala tekanan yang ada terutama sekali selepas seharian penat bekerja. Kedua, secara saintifiknya, semakin kulit kita menerima tekanan haba, kadar pembebasan bahan kimia daripada badan akan turut meningkat. Bahan kimia yang tertentu di dalam badan kita menjadi penyebab kepada stres. Dengan bersauna, bahan kimia tersebut akan dapat dikurangkan dan secara tidak lansung stres dengan sendirinya akan dapat di atasi.

2.Bagaimana pula sauna sering dikaitkan dengan pengurangan berat badan? Ini adalah kerana, sauna bertindak meningkatkan kadar denyutan jantung dan meningkatkan kadar metabolisma badan. Keadaan ini sama seperti bersenam dan bersukan. Maka, duduk dan relaks di dalam sauna juga dapat membantu meningkat kadar metabolisma badan dan seterusnya akan membantu membakar lemak yang tidak diperlukan oleh badan. Anda obes? Bersaunalah hari ini kerana sauna merupakan salah satu cara terbaik untuk anda.

3.Selain daripada itu toksin- toksin di dalam badan juga dapat dikeluarkan semasa berpeluh. Menerusi kaedah sauna, perpeluhan akan meransang banyak toksin di dalam badan dapat dikeluarkan.

4. Telah terbukti yang sauna juga dapat membantu anda yang mengalami masalah kulit seperti jerawat dan sebagainya. Seperti yang anda ketahui sauna mampu meningkatkan kadar denyutan jantung dan ini seterusnya akan meningkatkan kadar aliran darah ke kulit. Secara normal, hanya 10 peratus sahaja kadar aliran darah yang mengalir ke kulit. Apabila suhu meningkat, kadar aliran akan meningkat kepada 30 hingga 40 peratus. Dengan ini ia akan membantu membekalkan oksigen yang mencukupi untuk kesihatan kulit. Kulit anda akan menjadi lebih licin dan bermaya!

5. Apabila seseorang mengalami demam panas, badan akan mula menghasilkan sel darah putih dan antibodi untuk melawan jangkitan. Sama juga kaedahnya ketika bersauna, suhu badan seseorang yang menjalani rawatan akan turut mengalami sedikit peningkatan di bahagian-bahagian tertentu. Ini juga sedikit sebanyak akan dapat membantu meningkatkan tahap keimunan badan terhadap sesuatu penyakit.